Labels

Saturday, January 22, 2011

Hukum perniagaan import export barangan alkohol

Assalamualaikum.
Saya ada seorang rakan dari Eropah yang ingin meluaskan perniagaannya di Malaysia dan meminta saya untuk menyertainya. Masalah saya adalah perniagaannya berdasarkan import export barangan :-
1.    Perikanan (ikan Salmon, cod dan sebagainya), dan  barangan alkohol ( wine dan vodka dari Europe ).
Saya telah menyemak buku ' Syariah the Islamic Law' tulisan Abdur Rahman I. Doi mengenai perkara ini yang menyebut umat Islam tidak boleh terlibat di dalam perniagaan berdasarkan alkohol dan babi. Soalan saya adalah :
a)    Bolehkah saya menyertai perniagaan ini sekiranya syarikat yang di bentuk adalah sebagai pengedar - 'middle man' adakah ini sama seperti situasi  syarikat logistics/ transportation yang mana tugas mereka sebagai perantaraan?
b)    Apakah hukumnya sekiranya saya tidak terlibat dengan syarikat rakan saya secara langsung, saya menubuhkan satu syarikat baru yang membekalkan khidmat  nasihat (consulting service outsourcing) dan menerima bayaran daripada khidmat saya itu tanpa apa-apa kepentingan share di dalam syarikat rakan saya itu?
Di harap Tuan dapat membantu saya. Terima kasih.
 
Jawapan :
- Islam mengharamkan umatnya mengambil sebarang manfaat daripada arak seperti minum, memberi minum, memberi, menjual, membeli, membawa, memproses, meluluskan lesen penjual arak kepada orang Islam dan lain-lain berkaitan dengannya.
a)    Dalil Al-Quran surah Al-Maaidah ayat 90 :
Yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya".
b)    Hadis riwayat Imam Ahmad daripada Ibnu Omar, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Telah dilaknat arak, meminumnya, pemberi minumnya, penjualnya, pembelinya, pemerahnya, orang yang memprosesnya dan pemakan harganya (wang hasil pemulangan arak).
Hadis ini jelas menyatakan bahawa semua jenis perkhidmatan dan penggunaan berkaitan arak adalah haram.
-    Orang Islam haram memberi sebarang perkhidmatan arak kepada orang Islam atau kepada orang bukan Islam samada berbayar atau tidak berbayar.
Hadis riwayat Al-Humaidi mengeani hukum haram menghadiahkan arak kepada orang kafir. Daripada Abu Hurairah R.A bahawa seorang lelaki pernah menghadiahkan sebekas arak kepada Nabi SAW, kemudian ia menghadiahkan kepada beliau selama setahun. padahal arak sudah diharamkan maka Nabi SAW bersabda :
"Sesungguhnya arak telah diharamkan, "lelaki itu bertanya : Bagaimana  kalau saya menjual? Baginda bersabda "Sesungguhnya arak telah diharamkan. "lelaki itu bertanya, "Bagaimana kalau saya menjualnya? Baginda bersabda "Sesungguhnya minuman yang diharamkan meminumnya haram menjualnya, orang itu bertanya lagi, "Bagaimana kalau aku berikan sebagai hadiah kepada orang Yahudi? Nabi SAW bersabda "Sesungguhnya yang mengharamkan juga pemberian kepada orang-orang Yahudi", lelaki itu bertanya lagi, "Apa yang harus saya lakukan?, Sabda Rasulullah SAW "Tuangkanlah di Al-Battha.
Hadis ini menunjukkan  bahawa memberi hadiah arak kepada orang kafir tentulah lebih aula haramnya , kerana  sekiranya percuma  harganya adalah lebih aula haramnya.
Orang-orang Islam dilarang menjual dan meminum arak berdasarkan seksyen 18 (2) Enakmen Jenayah Negeri Selangor 1995 iaitu :
"Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan  suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya".

No comments:

Post a Comment