Labels

Tuesday, January 25, 2011

Suami lafaz cerai dan rujuk

Soalan 
Assalamualaikum
Di sini saya ingin bertanya.
Suami saya telah berkata "i divorce you now". 5 hari selepas itu dia berkata "Saya rujuk dengan awak hari ini" dan saya kata "iya".
 Selepas 3 bulan saya mengandung dan sekarang selamat melahirkan anak perempuan.
Soalan saya :
1. Sahkah rujuk kami itu?
2. Apakah hukum atas anak kami?
Saya harap ustaz dapat memberi jawapan. Terima kasih. Wassalam. 
  JAWAPAN :
 
1. Rujuk tersebut adalah sah.
 
2. Hukum anak itu adalah anak sah taraf dan boleh dinasabkan kepada pihak suami puan. 

Saturday, January 22, 2011

Pertanyaan tentang hutang dan fidyah

Assalamualaikum.
Saya ingin bertanya 2 soalan kepada pihak Jabatan Agama Islam,
1)    Saya ada berhutang dengan seseorang dan belum membayar balik kepada orang yang saya berhutang, masalah sekarang saya tidak dapat mencari orang berkenaan kerana telah terputus hubungan dan saya tidak tahu dimana beliau tinggal sekarang. Apa yang perlu saya lakukan sekarang dan bagaimana saya hendak menjelaskan hutang tersebut.
2)    Umur saya 35 tahun, pada masa muda saya mungkin kurang pengetahuan tentang bab-bab agama Islam, saya tinggal puasadan tidak menggantinya. Sekarang saya telah insaf dan cuba untuk menggantinya.Saya mengambil kira puasa yang saya tinggal dari umur akil baligh iaitu dari umur 15 tahun sehingga umur saya 35 tahun. Saya andaikan saya tak puasa selama sebulan. Minta pihak tuan dapat menolong saya tentang perkiraan fidyah dan ganti puasa yang perlu saya bayar/ gantikan bagi tempoh berkenaan. (15 tahun sehingga 35 tahyun= 20 tahun)
Segala kerjasama pihak tuan dalam perkara ini adalah sangat-sangat saya hargai dan ucapkan jutaan terima kasih.
 
Jawapan :
1.    Setiap yang berhutang wajib untuk membayar dengan apa jua cara sekalipun. Walaubagaimanapun jika bayaran hutang tersebut tidak dapat dibayar oleh kerana terputus perhubungan tanpa sebarang berita, saudara boleh cuba menghubungi saudara maranya atau mengiklankan dalam akhbar tempatan atau membuat hebahan dalam tempoh yang telah ditentukan untuk mendapatkan maklumat. Jika sekiranya masih juga tidak diperolehi saudara boleh membuat sedekah di masjid dengan menggunakan wang tersebut dengan niat pahala sedekah tersebut untuk si pemberi pinjam. Semoga niat saudara untuk melaksanakan kewajipan tersebut  tertunai.
2.    a) Puasa itu tidak perlu digandakan hanya fidyahnya sahaja yang digandakan.
      b) Fidyah yang perlu dibayar ialah 1 cupak (670 gram) sehari (nilai ringgit RM1.17 secupak)
       c) Fidyah tersebut perlu terus dibayar kepada fakir miskin tanpa perlu menunggu habis puasa.

Solat Dhuha

Assalamualaikum,
SOALAN 1

Saya telah pun mencuba dan terus menjadi amalan melakukan sembahyang sunat dhuha,tetapi apa yang saya rasa confuse ialah tentang surah yang sepatutnye baca dalam rakaat pertama dan kedua.Adakah 'ada surah yang wajib' dibaca atau tak kisah apa-apa surah pun...Sekarang ni saya hanya baca surah yang saya tahu saje,ikut panduan buku agama tetapi apabila saya membaca buku yang lain pulak ,dia ada nyatakan surah surah Ayatul Kursi tetapi perlu membaca 11 kali....Kenapa?

SOALAN 2

Saya pernah terlewat melakukan sembahyang dhuha , lagi 5 minit pukul 12 thg...,lalu saya teruskan juga.....
Apa yang saya ingin pastikan sampai pukul brapa sembahyang dhuha ini masih lagi boleh dilakukan...?

Terima kasih. Wassalam.



Jawapan.
Solat sunat dhuha ialah solat di waktu pagi. Waktunya sesudah matahari terbit sehingga matahari di tangah-tengah langit (kira jam 12tgh). Dilakukan antara dua rakaat hingga lapan rakaat. Ada sebahagian kitab menyatakan sehingga 12 rakaat. Dari segi pembacaan di dalam solat sunat dhuha tiada wajib membaca surah-surah tertentu di dalam rakaat tersebut. Cuma kebiasaan yang dilakukan oleh para ulama iaitu pada rakaat pertama dibaca surah Fatihah dan surah Wasy-Syamsi atau surah Al-Kafirun. Manakala rakaat kedua dibaca Al-Fatihah dan surah Ad-Dhuha atau surah Al-Ikhlas.

Hukum mendengar Imam membaca Al-Fatihah

Assalamualaikum
Saya ingin bertanya,
1.    Apakah hukum mendengar imam membaca Al-Fatihah?
2.    Jika imam membaca Al-Fatihah bolehkah makmum meneruskan membaca doa iftitah sehingga selesai tanpa menghiraukan bacaan Al-Fatihah imam?
3.    Adakah sah solat jika bacaan ayat/ surah selepas Al-Fatihah salah?
 
 
Jawapan :
 1.   Mendengar bacaan Al-Quran mendapat pahala termasuk bacaan Al-Fatihah oleh imam.
2.    membaca doa Iftitah hukumnya sunat dan kedua-duanya mendapat pahala apabila dilakukan.
3.    Sah solat jika didapati membaca ayat surah selepas Al-Fatihah itu ada kesilapan. walaubagaimanapun ia perlu diperbaiki dan diperbetulkan sebagai memelihara kesucian Al-Quran supaya mendapat pahala yang sempurna kerana membaca Al-Quran.

Pelaris perniagaan

Soalan : 

Assalamualaikum
Saya ingin bertanya mengenai amalan pelaris yang diamalkan ramai peniaga restoran, kedai runcit dan sebagainya. Di samping mengadakan solat hajat dan amal ibadat lain untuk tujuan mendapat rahmat dalam mencari rezeki melalui perniagaan, ada yang meletakkan beberapa jenis benda fizikal seperti besi, duit syiling, beras, garam, gula dan sebagainya di premis perniagaan. Sebab sebenar alatan ini digunakan adalah samar bagi saya. Ada yang menggunakan alasan bahawa alatan tersebut adalah simbol semata-mata dan rahmat serta kejayaan perniagaan adalah kehendak mutlak Yang Maha Esa. Ada yang memberi contoh ; seperti ubat-ubatan doktor adalah simbol sahaja sedangkan sakit hanya dapat diubati jika kehendakNya mengizinkan untuk sembuh. Ada yang menggunakan contoh Nabi Musa yang membelah lautan dengan tongkatnya, iaitu bukan tongkat yang membelah laut tetapi dengan izin Allah SWT yang menyebabkan laut terbelah. Jadi kesimpulannya adalah, alatan besi, syiling dan lain-lain adalah simbol semata jadi tidak salah untuk diletakkan di premis perniagaan di samping itu memperbanyakkan ibdat memohon restu dari tuhan untuk kejayaan.
Soalan saya ialah, apakah pendapat dari segi hukum mengenai penggunaan alatan tersebut jika dalam hati tetap percaya bahawa semua adalah dengan izin Allah SWT?
 
 

Jawapan :
 Walaikumsalam.
Khurafat sekiranya mempercayai sesuatu itu boleh mendatangkan keuntungan atau kebaikan, seperti yang kita maklum dengan berusaha sahaja Allah SWT akan mengizinkan sesuatu itu dengan kehendakNya. Sekiranya kita mempercayai benda lain selain dari kuasa Allah SWT ditakuti ia boleh merosakkan aqidah kita sebagai umat Islam.
Adalah lebih baik sekiranya mengamalkan ayat-ayat Al-Quran dan dijadikan doa dalam kehidupan seharian. Ini kerana ayat-ayat Al-Quran telah jelas dan mencukupi kehebatannya tanpa perlu ditokok dengan sesuatu perkara atau benda lain untuk dijadikan simbol atau alat yang kononnya dapat memberi keuntungan.
 wallahua'lam..

Hukum perniagaan import export barangan alkohol

Assalamualaikum.
Saya ada seorang rakan dari Eropah yang ingin meluaskan perniagaannya di Malaysia dan meminta saya untuk menyertainya. Masalah saya adalah perniagaannya berdasarkan import export barangan :-
1.    Perikanan (ikan Salmon, cod dan sebagainya), dan  barangan alkohol ( wine dan vodka dari Europe ).
Saya telah menyemak buku ' Syariah the Islamic Law' tulisan Abdur Rahman I. Doi mengenai perkara ini yang menyebut umat Islam tidak boleh terlibat di dalam perniagaan berdasarkan alkohol dan babi. Soalan saya adalah :
a)    Bolehkah saya menyertai perniagaan ini sekiranya syarikat yang di bentuk adalah sebagai pengedar - 'middle man' adakah ini sama seperti situasi  syarikat logistics/ transportation yang mana tugas mereka sebagai perantaraan?
b)    Apakah hukumnya sekiranya saya tidak terlibat dengan syarikat rakan saya secara langsung, saya menubuhkan satu syarikat baru yang membekalkan khidmat  nasihat (consulting service outsourcing) dan menerima bayaran daripada khidmat saya itu tanpa apa-apa kepentingan share di dalam syarikat rakan saya itu?
Di harap Tuan dapat membantu saya. Terima kasih.
 
Jawapan :
- Islam mengharamkan umatnya mengambil sebarang manfaat daripada arak seperti minum, memberi minum, memberi, menjual, membeli, membawa, memproses, meluluskan lesen penjual arak kepada orang Islam dan lain-lain berkaitan dengannya.
a)    Dalil Al-Quran surah Al-Maaidah ayat 90 :
Yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya".
b)    Hadis riwayat Imam Ahmad daripada Ibnu Omar, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Telah dilaknat arak, meminumnya, pemberi minumnya, penjualnya, pembelinya, pemerahnya, orang yang memprosesnya dan pemakan harganya (wang hasil pemulangan arak).
Hadis ini jelas menyatakan bahawa semua jenis perkhidmatan dan penggunaan berkaitan arak adalah haram.
-    Orang Islam haram memberi sebarang perkhidmatan arak kepada orang Islam atau kepada orang bukan Islam samada berbayar atau tidak berbayar.
Hadis riwayat Al-Humaidi mengeani hukum haram menghadiahkan arak kepada orang kafir. Daripada Abu Hurairah R.A bahawa seorang lelaki pernah menghadiahkan sebekas arak kepada Nabi SAW, kemudian ia menghadiahkan kepada beliau selama setahun. padahal arak sudah diharamkan maka Nabi SAW bersabda :
"Sesungguhnya arak telah diharamkan, "lelaki itu bertanya : Bagaimana  kalau saya menjual? Baginda bersabda "Sesungguhnya arak telah diharamkan. "lelaki itu bertanya, "Bagaimana kalau saya menjualnya? Baginda bersabda "Sesungguhnya minuman yang diharamkan meminumnya haram menjualnya, orang itu bertanya lagi, "Bagaimana kalau aku berikan sebagai hadiah kepada orang Yahudi? Nabi SAW bersabda "Sesungguhnya yang mengharamkan juga pemberian kepada orang-orang Yahudi", lelaki itu bertanya lagi, "Apa yang harus saya lakukan?, Sabda Rasulullah SAW "Tuangkanlah di Al-Battha.
Hadis ini menunjukkan  bahawa memberi hadiah arak kepada orang kafir tentulah lebih aula haramnya , kerana  sekiranya percuma  harganya adalah lebih aula haramnya.
Orang-orang Islam dilarang menjual dan meminum arak berdasarkan seksyen 18 (2) Enakmen Jenayah Negeri Selangor 1995 iaitu :
"Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan  suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya".

Monday, January 17, 2011

Hantu / roh bolehkah kembali?

SOALAN 
Saya ada menonton siaran televisyen mengenai rumah berhantu. Selain adanya kehadiran lembaga yang hodoh, dikatakan orang ramai sering mendengar suara-suara seperti orang menangis. Dikatakan bahawa penghuni rumah tersebut meninggal akibat kemalangan jalan raya.
Persoalan saya, saya percaya kepada kehadiran makhluk jin yang suka menghuni rumah yang ditinggalkan. Tetapi, suara menangis ataupun bayangan pemilik rumah yang telah meninggal dunia itu, adakah kerana roh si mati tidak diterima bumi? Kalau tidak silap, saya pernah terbaca hadis yang mengatakan ada roh yang tidak diterima oleh bumi. Jika benar demikian, ke manakah roh ini pergi?
 
 
 

Jawapan 
Apabila roh sudah berpisah dari tubuh, ia berada di alam yang dinamakan Barzakh, dan ia tidak akan mampu sama sekali untuk kembali ke alam dunia semula sama ada dalam keadaan baik atau buruk. Dakwaan Roh pulang kembali ke rumahnya setelah hari-hari tertentu adalah TIDAK BENAR. Tidak kiralah sama ada roh itu dalam keadaan baik atau buruk. Manakala jika benar kelihatan mahkluk seperti si mati dan kendengaran suara-suara menangis, maka pandangan Ulama adalah ia hanyalah angkara Jin dan Syaitan yang menyerupai si mati dan gangguan mereka, tidak lebih dari itu.
Bukti bahawa Roh tidak boleh kembali berdasarkan dalil berikut :-
Firman Allah ertinya : " Hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka ( orang kafir) dia berkata : " Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong) . Dan di hadapan mereka ada DINDING (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan" ( Al-Mu'minuun : 99-100).
Imam Mujahid (Tabien dan anak murid Ibn Abbas r.a) dan Ibn Zaid berkata tentang ayat ini : "Barzakh adalah seperti satu tembok yang menghalang orang yang mati kembali ke dunia."
Firman Allah ertinya : "Allah SWT memegang jiwa (ruh) ketika matinya (seseorang) dan memegang jiwa(ruh) orang yang belum mati di waktu tidurnya, maka Dia tahanlah jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan.." ( Az-Zumar : 42 ).
Melalui ayat ini, jelas bahawa roh berada di dalam pegangan Allah SWT dan Allah tidak membenarkan sama sekali Roh untuk kembali ke dunia, sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat sebelum ini,
Terdapat juga ulama berpandangan bahawa roh orang yang telah mati boleh bertemu dengan roh orang hidup ketika mereka sedang tidur (melalui mimpi). (Ar-Ruh, Ibn Qayyim, ms 20). Bagaimanapun, tiada yang berpandangan roh tersebut boleh bertemu dengan orang hidup semasa sedar mereka. Semua roh yang telah di ambil Allah SWT akan sibuk dengan urusan mereka sama ada baik atau buruk.
Prof Ahmed Azzedine Al-Bayanuny dan Prof. Mohamed Hussin pernah menegaskan bahwa dakwaan orang-orang kristian yang boleh bertemu dengan ruh si mati dengan teknik jampian kahs adalah penipuan yang menggunakan Jin dan syaitan. Ia bukannya ruh yang sebenar. ( Rujuk Al-Iman Bil Malaika dan Al-Ruhiya al-Haditha)
Destinasi Roh Selepas Mati.
Ulama berbeza pandangan dalam menentukan tempat tinggal  Roh selepas mati seperti berikut (Rujuk Syarh Al-‘Aqidah At-Tohawiyah, Tahqiq Syuaib Arnout, 2/613-614, cet Muasassah ar-Risalah) :-
a) Roh Mukmin di dalam Syurga dan Roh Kafir di dalam Neraka.
b) Kedua-duanya di dalam kubur mereka, dan Roh Mukmin di bukakan taman Syurga serta memperolehi nikmatnya dan Kafir di bukakan lubang azab neraka.
c) Roh Mukmin di alam tinggi (‘illiyyin) di langit ketujuh dan Kafir di ‘Sijjin' di dunia yang ketujuh terbawah.
d) Roh para Shuhada' (mati syahid) berada di Syurga dan Roh seluruh Mukmin lain berada di kuburan mereka. (pandangan Imam Ibn Abd Al-Barr)
Antara dalil dalam hal destinasi roh selepas kematian ini ada diterangkan di dalam hadith:
" Roh yang Mukmin dalam keadaan burung-burung yang bergantungan di pokok-pokok di dalam Syurga, sehinggalah Allah mengembalikannya kepada jasadnya pada hari dibangkitkannya."  (Ibn Majah, no 1449 ; Ahmad, no 15716 12/315 cet Dar al-Hadis; Sohih menurut Ibn Hibban no. 743, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)
Berdasarkan sebuah hadith lain, apabila seorang Mukmin itu mati rohnya akan dibawa naik ke langit sehingga sampai ke langit ke tujuh, maka berkata Allah SWT : Tuliskan buku hambaku ini di ‘illiyyin' (tempat yang tinggi) dan kemudian dikembalikannya ke jasadnya kembali dan di datangi pula oleh dua Malaikat ... (Ringkasan Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud no 4753, Sohih menurut al-Hakim, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)
Manakala Roh si jahat dan Kafir pula juga di bawa naik ke langit dengan bau yang amat busuk dan digelar dengan nama yang terburuk dan apabila sampai di langit, maka tidak dibukakan pintu langit kemudian Nabi SAW membacakan ayat 40 dari Surah al-A'raf . Kemudian Allah SWT mengarahkan agar dtuliskan namanya di dalam ‘Sijjin' (neraka) kemudian di campakkan Rohnya dan Nabi SAW membacakan firman Allah : " Sesiapa yang syirik kepada Allah, maka adalah seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan ke tempat yang jauh" (Al-A'raf : 31) . Kemudian dikembalikan kepada jasadnya, ...kemudian di datangi Malaikat..lalu dibukakan pintu dari neraka, lalu datanglah kepanasannya dan racunnya, dan kuburnya pula menyempit sehingga bersilang rusuknya. (Ringkasan dari Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud no 4753, Sohih menurut al-Hakim, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)
Berdasarkan ayat Quran juga, ruh si jahat juga akan di azab di dalam alam barzakhnya. Iaitu :
" Api neraka dikenakan kepada mereka (kafir) pada pagi dan petang, manakala di apabila tiba qiyamat mereka di masukkan bersama keluarga Firaun yang dikenakan azab" (Ghafir : 40)
Kesimpulannya, Roh tidak mampu kembali ke alam dunia kerana Barzakh adalah tembok yang menghalangnya, dan Roh mukmin di berikan nikmat di alam barzakh manakala Roh di kafir diazab sehingga kiamat. Wallahu'alam.

Sunday, January 16, 2011

Panduan elak diri dari Sihir

Soalan : -
Ustaz, saya telah memulakan perniagaan kira-kira enam bulan yang lalu dengan membuka sebuah warung makanan. Pada mulanya perniagaan berjalan lancar tetapi setelah dua bulan, perniagaan mula merosot. Adakalanya saya hanya mendapat sebanyak RM20 sehari. Lauk-pauk yang banyak terpaksa dibuang begitu sahaja.
Saya ada memanggil dukun untuk menengokkan perniagaan saya. Kata dukun tersebut, ada orang yang telah menyihir saya. Kemudian baru saya teringat saya pernah terjumpa sebuah bungkusan yang mengandungi tanah dan beberapa barangan lain ditinggalkan di kedai saya dan saya terus membuangnya ke dalam tong sampah.
Saya ingin meminta nasihat daripada ustaz, apakah amalan-amalan yang patut saya buat bagi menghindari perbuatan sihir seperti ini.
 
 

Jawapan :
Pertamanya, perlu lebih berhati-hati dalam berjumpa, mendapatkan dan percaya dengan dukun-dukun. Ini kerana Nabi SAW pernah mengingatkan : "Sesiapa yang mendatangi tukang tilik dan tukang tenung ( bagi mendapatkan bantuan berkaitan ghaib), kemudian mempercayai ramalan si tukang/dukun tadi, maka ia (yang pergi berjumpa itu) telah pun kufur dengan agama Nabi Muhammad SAW " ( Riwayat Al-Bazar & Abu Ya'la, Albani : Sohih, Ghayatul Maram)     
Kedua : Bagi melindungi diri dari sihir, yang terbaik adalah anda sentiasa menjaga solat lima waktu serta meningkatkan kualiti solat. Membaca al-Quran dan zikir  secara berterusan dan komited. Ini ternyata dari firman Allah ertinya :
" Sesungguhnya tidak ada kekuasaan bagimu (Syaitan) terhadap hamba-hambaKu, kecuali (kamu punyai kuasa) ke atas mereka yang mengikut kamu, iaitu orang-orang yang sesat"
(Al-Hijr:42)
Juga satu lagi firman Allah SWT ertinya : "Sesungguhnya Syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakkal kepada Tuhannya"
(An-Nahl :99)
Sebelum saya menyebut beberapa ayat yang boleh di amalkan bagi mengelak sihir, sesorang itu perlulah jelas beberapa fakta terlebih dahulu :-
1) Kewujudan sihir telah diiktiraf oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan boleh datang dalam pelbagai bentuk.
2) Sihir boleh termasuk dalam perkara yang membawa sesuatu manfaat atau kejahatan . Ia berdasar firman Allah : " ... Mereka mengamalkan apa yang diajarkan oleh syaitan pada masa kerajaan Sulayman. Padahal Sulayman itu bukanlah dari golongan orang yang ingkar. Mereka mengajarkan manusia ilmu sihir, yang diturunkan kepada kedua malaikat di negeri Babel, iaitu Harut dan Marut. Sedang keduanya tidak mengajarkan sesuatu kepada seseorang pun sebelum mengatakan "sesungguhnya kami hanya cubaan dan janganlah kamu kufur dan menyalah gunakan ". Tetapi manusia mempelajari dari keduanya dan digunakan (mengikut ajaran syaitan) untuk mencerai beraikan suami isteri.... Bahkan mereka yang ingkar akan merasakan yang amalannya itu semata mata menyakitkan dan tidak memanfaatkan mereka pun"(Al-Baqarah :102)
3) Sihir tidak boleh berfungsi dan memberi sebarang kesan kecuali dengan izin Allah SWT , ia dari firman Allah SWT : "..Sesungguhnya mereka tidak dapat membinasakan sesiapa pun tanpa keizinan Allah.(Al-Baqarah :102)
4) Amaran Allah dan RasulNya bagi pengamal ilmu sihir :-
Ertin firman Allah : " Oleh itu mereka akan ketahui dengan sepenuhnya sesiapa yang mengamalkan ilmu sihir, tidak akan mendapatkan bahagian yang baik di hari Akhirat kelak. (Al-BAqarah :102)
Sabda Nabi SAW tentang dosa besar sihir :
Ia berdasarkan hadith nabi SAW :  Ertinya : "Jauhilah tujuh dosa besar, Syirik, Sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina ( tanpa saksi adil) " ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Beberapa cara di bawah bolehlah di amalkan untuk mengelak sihir :-
1) Al-Fatihah.
2) Membaca tiga surah terakhir atau 3 Qul setiap hari.
Ia berdasarkan hadith :
قال لي رسول الله صلى الله عليه وسلم : إقراء قل هو الله أحد , والمعوذتين , حين تمسي و حين تصبح , ثلاث مرات تكفيك من كل شيء ( رواه أبو داود والترمذي )
Ertinya : Baginda S.A.W telah berkata kepadaku : "Bacalah Qul Huwa Allahu Ahad" (al-ikhlas) dan (surah an-Nas) dan (surah al-falaq) sebanyak 3 kali ketika pagi dan petang, ia mampu mencukupkan kamu dari segala sesuatu.( At-Tirmidzi, Bab Doa yang disebut Ketika Ingin Tidur, no 3570 ; Sunan Abu Daud, Bab Apa Yang Dibaca Ketika Subuh, no 5072 ( Nuzhatul Muttaqin, no 1457 , 2/229 ) At-Tirmidzi : Hasan Sohih, An-Nawawi : Sohih
3) Ayat al-Kursi selepas solat (iaitu surah Al-Baqarah ayat 255)
Dalilnya :
من قرأ آية الكرسي دبر كل صلاة لم يمنعه من دخول الجنة إلا أن يموت ( رواه النس )
Ertinya : "Sesiapa yang membaca ayat Kursi setiap kali selepas solat, maka tiada siapa yang dapat menghalangnya dari memasuki syurga" (Riwayat an-Nasaie dan at-Tabrani dengan sanad salah satu antaranya Sohih. Antara yang mengatakan hadith ini sebagai SOHIH adalah Ibn Hibban, Abul Hasan (guru Ibn Munzir), Az-Zahabi, Ibn Hajar, Al-Qaradawi (Rujuk Al-Muntaqa min at-Targhib wa at-Tarhib lil Munziri, Bab Zikir Selepas Solat Fardhu, no 890, 1/426)
 
4)Membaca doa ini dengan setiap hari iaitu 3 kali :"Bismillahillazi La Yadhurru Ma'asmihi Syai un Fil Ardi Wala Fisamaie, wa huwas Sami'ul ‘Alim".
Dalilnya :-
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (( ما من عبد يقول في صباح كل يوم ومساء كل ليلة : " بسم الله الذي لا يضرّ مع اسمه شيء في الأرض ولا في السماء , وهو السميع العليم ",  ثلاث مرات , إلا لم يضره شيء )) : (رواه ابو داود والترمذي )
Ertinya : Rasulullah S.A.W bersabda : ((Tiada seorang hamba pun yang berkata setiap pagi dan petangnya : "Dengan nama Allah yang tiada siapa mampu memudaratkan dengan namaNya samada di dunia mahupun di langit, dan Dialah maha mendengar lagi maha mengetahui" sebanyak 3 kali, kecuali tiada apa yang mampu memudaratkannya)) (Sohih Muslim, no 2731 (Nuzhatul Muttaqin, no 1413, 2/207)
5) Membaca dua ayat terakhir dari surah al-Baqarah pada waktu malam
 
من قرأ بالآتين من آخر سورة البقرة في ليلة كفتاه (رواه الشيخان )
Ertinya : "Barangsiapa membaca 2 ayat terakhir ( ayat no 285 dan 286 ) dari surah al-Baqarah dalam satu malam, maka 2 ayat itu telah pun mencukupi baginya"(Al-Bukhari & Muslim)
6) Membaca zikir : "La ilaha illah wahdahu la syarikalah, lahul mulku walahul hamdu yuhyi wa yumit wahuwa ‘ala kulli syai'in Qodir "  ( sepuluh kali )
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من قال : لا إله إلا الله وحده لا شريك له , له الملك وله الحمد , يحي ويميت وهو على كل شيء قدير عشر مرات على إثر المغرب بعث الله مسلحة يحفظونه من الشيطان حتى يصبح , وكتب الله له عشرحسنات موجبات , ومحى عنه عشر سيئات موبقات , وكانت له بعدل عشر رقاب مؤمنات . (الترمذي )
Ertinya : Bersabdalah Nabi S.A.W : Barangsiapa menyebut : " Tiada tuhan melainkan Allah Yang Esa, tiada sekutu bagiNya, bagiNya segala kerajaan dan bagiNya kepujian, yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Dia maha berkuasa atas segala sesuatu"sebanyak seratus kali selepas solat Maghrib, nescaya Allah akan membangkitkan ia (di hari qiamat) dengan senjata yang mampu melindunginya dari Syaitan sehinggalah pagi esoknya, dan dituliskan baginya sepuluh kebaikan seperti pahala menunaikan perkara wajib, dan dipadamkan darinya sepuluh kejahatan seperti dosa-dosa besar. Dan ia standing dengan membebaskan 10 hamba wanita islam." (Sunan At-Tirmidzi, Bab Doa nabi SAW , no 3534 , hlm 802 ; At-Tirmidzi : Hasan Ghorib , Al-Albani : Hasan)
7) Membaca : " A'uzu bikalimatillah at-Tammati min syarrima Khalaq"
 
أما لو قلت حين أمسيت : (( أعوذ بكلمات الله التامات من شر ما خلق )) , لم تضرك  (رواه مسلم وأبو داود)
Ertinya : Adapun jika engkau menyebut tatkala kamu berpetang-petang : (( Aku berlindung dengan kalimah Allah yang maha sempurna dari segala kejahatan makhluk)) , nescaya tiada sesuatu apa akan memudaratkanmu. ( Riwayat Muslim Rujuk Al-Muntaqa min at-Targhib wa at-Tarhib lil Munziri, Bab Zikir Yang Disebut Ketika Subuh, no 336, 1/225 )

Hukum Memakai Minyak Wangi Beralkohol

Soalan.
Assalamualaikum,
Saya keliru tentang hukum memakai minyak wangi beralkohol didalam sembahyang. Setengah pendapat berkata alkohol itu najis jadi tidak sah sembahyang kita. Tolong jelaskan..
 
Jawapan.
Alkohol yang terdapat di dalam minyak wangi boleh dipakai dan dibawa sembahyang..

Melihat gambar lucah

Soalan.
Apakah hukumnya jika kita melihat gambar-gambar lucah?
Jawapan
Hukum melihat gambar lucah adalah haram dan berdosa. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
"Jangan kamu menganggap sesuatu dosa itu besar atau kecil kemungkinan tanggapan kita meleset daripada nilai sebenar dosa tersebut sama ada kecil atau besar".
Adapun tujuh dosa besar yang tersebut dalam hadis itu adalah merupakan contoh sahaja, masih terdapat lagi dosa-dosa yang besar yang lain yang perlu bagi setiap umat Islam menjauhi segala dosa dan bertaubat kalau telah melakukannya.

Status wanita yang telah melahirkan anak luar nikah

Soalan.
Assalamualaikum.
Saya ada beberapa persoalan yang ingin diajukan pada pihak taun ;
1. Apakah status bagi wanita yang telah melahirkan anak luar nikah (anak dara atau janda)?
2. Bagaimanakah proses yang perlu dilalui oleh wanita tersebut jika ingin berkahwin dengan lelaki yang masih bujang  dan bagaimana pula hukum pada saksi yang telah mengetahui bahawa wanita tersebut telah melahirkan anak luar nikah?
3. Adakah dikenakan denda kepada wanita ini kerana melahirkan anak luar nikah tersebut, kalau didenda apakah bentuk denda tersebut?
Di harap pihak tuan dapat memberi penjelasan tentang perkara ini.
Terima kasih.

 
 
 
Jawapan :
1. Wanita yang mealhirkan anak luar nikah masih dikira sebagai anak dara.
2. Proses untuk berkahwin sama seperti permohonan perempuan yang bujang (boleh lihat prosedur permohonan nikah).
Hukum saksi yang mengetahui perkara tersebut sama seperti hukum mengetahui perkara mungkar, perlu dilaporkan, jika tidak dianggap subhat.
3. Dia tidak disabitkan kesalahan anak luar nikah tetapi persetubuhan luar nikah (Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995).
Sabit kesalahan seksyen 25 persetubuhan luar nikah (Enakmen Jenayah Syariah Selangor) boleh didenda tidak melebihi RM5000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. 
Sekian, terima kasih. 

Tunang dikatakan pernah berzina

Soalan
Saya merancang untuk bertunang dengan jejaka pilihan hati tidak lama lagi. Tetapi saya telah bertemu dengan seorang sepupunya yang menceritakan bahawa bakal tunang saya itu pernah terlanjur dengan bekas teman wanitanya. Sepupunya itu mengetahui perkara tersebut setelah diceritakan oleh bakal tunang saya itu, yang kononnya telah insaf dan mahu bertaubat.?
Sekarang saya berasa ragu-ragu yang tidak tahu apa yang harus dilakukan. Selain memang menyayanginya, saya juga memikirkan faktor umur yang sudah masuk 30 tahun sekarang ini. Jika saya tidak berkahwin dengannya, tentu susah pula saya hendak mencari orang lain. Tetapi jika saya berkahwin dengannya, bererti saya berkahwin dengan orang yang pernah berzina. Adakah saya patut menerimanya atau membatalkan pertunangan tersebut. Harap ustaz dapat menolong.

 
 
 
Jawapan :
Bab perkahwinan bukannya perkara yang boleh di cuba-cuba, jangan kerana umur maka digadaikan agama dan masa depan keluarga saudari.
Lelaki yang telah berzina sememangnya telah melakukan kesalahan yang maha besar, tetapi saudari masih tidak boleh mempercayai maklumat sepupunya dengan mudah tanpa penyelidikan. Allah SWT mengrahkan kita agar menyelidik sebarang berita terutamanya yang berat seumpama ini. (surah al-Hujurat ayat 6)
Ingatlah perkahwinan adalah suatu keputusan yang besar. Erti hadith: “Apabila berkahwin seseorang hamba, maka telah sempurnalah sebahagian dari agamanya, maka hendaklah ia bertaqwa kepada Allah dalam sebahagian yang lain” (Al-Hakim)
Kriteria lelaki yang ingin dijadikan suami adalah amat penting bagi isteri kerana ia akan mencorakkan sesebuah keluarga, justeru, ciri-ciri yang disebutkan oleh Nabi SAW di dalam hadith wanita pilihan iaitu : mengutamakan agama dari kecantikan, keturunaan dan harta juga terpakai untuk wanita mencari lelaki.(dari hadith shohih riwayat al-Bukhari dan Muslim). Cuma hadith banyak menekankan ciri wanita kerana biasanya lelaki yang mencari dan memilih wanita.
Dalam hal kriteria bakal suami yang telah berzina :
Beberapa ayat berikut boleh dijadikan pedoman :
a)Firman Allah : “ Lelaki-lelaki yang berzina tidak akan mengahwini melainkan wanita yang berzina, atau wanita musrik dan wanita yang berzina tidak akan mengahwini lelaki kecuali yang berzina atau musyrik.’  (An-Nur :3)
b) Firman Allah : “Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki keji adalah untuk wanita-wanita yang keji, dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik.”(An-Nur : 26)
Ayat di atas menyebabkan ulama berbeza pandangan dalam hal berkahwin dengan sesorang yang telah berzina. Ayat di atas secara sepintas lalu, kelihatan mengharamkan berkahwin dengan kumpulan penzina ini kecuali seorang penzina juga.
Walaubagaimanapun, menurut pandangan yang terkuat; hukum ayat di atas telah di ‘nasakh’ kan dengan ayat yang mengharuskan berkahwin dengan semua muslim dan muslimah yang masih boleh berkahwin. Iaitu ayat surah An-Nur ayat 32 . Ia adalah pandangan majoriti ulama. 
Bagaimanapun, perkara berikut perlu dilakukan :-
a- Selidiki maklumat yang diberikan oleh sepupu. Dalam Islam hal berat seumpama ini tidak boleh dipercayai tanpa 4 saksi atau pengakuan si lelaki.
b- Selidiki akhlak lelaki tersebut dengan teliti sebelum membuat keputusan, jangan terburu-buru membuat keputusan walaupun umur sudah sedikit lanjut. Apa yang penting adalah suami yang baik. Benar, ia boleh bertaubat, dan harus di beri peluang, tetapi perlulah di pastikan taubatnya terbukti dengan amalan soleh yang dijaganya berbading dahulu, sekiranya tidak, pada hemat saya, seseorang yang telah sekali melakukan dosa zina, dengan mudah sahaja ia akan terjebak semula jika tiada ilmu dan taubat yang bersungguh-sungguh.
Lakukanlah istikharah dengan sebaik-baiknya. Moga Allah memberikan petunjuk yang jelas dan baik untuk saudari. Wallahu a’lam.

Makruh lambatkan mandi wajib

Soalan.
Assalamualaikum,
Bilakah waktu yang sesuai untuk mandi wajib selepas bersama dengan suami pada malam hari pada
bulan Ramadan?

Sekian Terima Kasih.

Jawapan.
Waktu yang paling sesuai untuk mandi wajib ialah sebelum terbit fajar, iaitu sebelum masuk waktu subuh. Waktu subuh tempohnya pendek dan solat yang afdal ialah solat yang dilakukan pada awal waktu. Melambat-lambatkan mandi wajib adalah makruh. Ini kerana apabila seseorang itu berada dalam hadas besar maka banyak perkara yang tidak boleh dilakukannya seperti membaca Al-Quran, solat dan sebagainya.

Justeru, adalah dituntut seseorang yang berhadas besar agar segera menyucikan dirinya dengan mandi wajib. Secara fitrah, naluri insan seseorang itu tidak suka dirinya berada dalam kekotoran. Orang berhadas besar tidak berapa selesa berbanding dengan waktu dia bersih daripada hadas besar.

Sekiranya seseorang lelaki atau perempuan berjunub pada malam hari dalam bulan Ramadan dan tidak sempat mengangkat hadas besar sehingga terbit fajar (masuk waktu subuh), maka puasa kedua-dua mereka sah dengan syarat mereka berniat pada malam hari. Sama juga keadaan ini bagi mereka yang bermimpi pada malam hari sehingga keluar air mani.

Pandangan ini dapat diperkukuhkan lagi dengan melihat kepada apa yang diberitakan oleh isteri-isteri Rasulullah s.a.w. iaitu Aisyah dan Ummu Salamah yang bermaksud: Sesungguhnya Rasulullah dalam keadaan junub ketika masuk waktu fajar kemudian baginda mandi (mandi selepas masuk waktu solat subuh). (al-Lu’lu’ wa al-Marjan, jld, 2, hlm, 11, al-Bukhari dan Muslim) .

Puasa Qada' dan bayar Fidyah

Soalan.
Assalamualaikum,
Saya ingin mengqada'kan puasa saya yang lepas iaitu sebanyak 50 hari untuk 5 tahun yang berturut-turut. Saya ingin tahu bagaimana untuk saya membayar fidyah bagi tahun yang berasingan. Katakan saya ingin memulakan puasa Qada' iaitu dengan membayar fidyah dan mengqada' puasa untuk tahun lepas sahaja iaitu tahun 2005, adakah ia akan dikira fidyah untuk tahun 2004 atau sebelumnya?

Bagaimana cara membayar fidyah? jika saya ingin membayar fidyah kepada fakir miskin, perlukah saya menyebutnya pada si fakir miskin bahawa saya memberinya wang kerana ingin membayar fidyah ataupun saya hanya memberikannya dengan niat untuk membayar fidyah?

Terima kasih.



Jawapan.
Orang-orang yang meninggalkan puasa dengan sebab apa pun diberi kelapangan masa untuk mengqada’ puasanya itu, asalkan tidak lewat sehingga masuk bulan Ramadhan yang berikutnya. Seandainya masih belum mengqada’nya lagi dan masuk bulan bulan Ramadhan yang berikut. Ia dikenakan fidyah iaitu sehari secupak beras serta qada’nya sekali. Seperti contoh :

Seorang itu telah meninggalkan puasa 5 hari pada tahun pertama dan tidak mengqada’ sehingga masuk bulan Ramadhan tahun kedua maka ini dikenakan :

1. Tinggal 5 hari -> Qada’ 5 hari ini bagi tahun pertama iaitu masuk tahun kedua -> Beras 5 cupak (1 cupak sehari)
2. Tinggal 5 hari -> Qada’ 5 hari ini bagi tahun kedua iaitu masuk tahun ketiga -> Beras 10 cupak (2 cupak sehari)
3. Tinggal 5 hari -> Qada’ 5 hari ini bagi tahun ketiga iaitu masuk tahun keempat -> Beras 15 cupak (3 cupak sehari)

Begitulah seterusnya jika masih juga belum mengqada’ puasanya. Maka jumlahkanlah berapa tahun yang belum dijelaskan puasa yang ditinggalkan itu dan berapa pula yang patut dikenakan fidyahnya.

Ketika memberi kepada fakir miskin dengan kadar yang telah ditetapkan bagi tujuan membayar fidyah memadai dengan niat sahaja. Tetapi jika membayar fidyah melalui jawatankuasa masjid atau mereka yang menjalankan tugas berkaitan dengan hal ehwal Islam adalah lebih baik dinyatakan tujuan saudari itu.

Sebagai seorang Islam yang mengakui menjunjung perintah Allah janganlah lalai untuk mengqada’ puasa yang ditinggalkan itu. Lagi cepat kita qada’ lagi besar faedahnya yang kita dapati dan ringan penanggungan kita terhadap Allah S.W.T.

Sekian, wallahualam.

Hukuman/denda dikenakan kepada yang melakukan persetubuhan (sah) di bulan Ramadhan

Salam..
Berhubung dengan persoalan yang telah saya kemukakan sebelum ini, saya ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai hukuman atau denda yang dikenakan oleh Islam kepada orang yang melakukan hubungan intim (yang sah) semasa dalam puasa di bulan Ramadhan.

 
1) Apakah hukuman yang dikenakan kepada lelaki dan juga perempuan yang melakukan hubungan tersebut?
2) Macam mana hendak melakukan hukuman tersebut, contohnya yang melibatkan puasa 2 bulan.. macam mana niat untuk puasa tersebut?
3) Bolehkan wang digunakan sebagai ganti untuk secupak makanan asasi dan wang tersebut diberikan kepada pihak tertentu contohnya pihak masjid, majlis-majlis agama untuk mereka serahkan kepada fakir miskin atau senasib?
4) Adakah ada hukuman tambahan andai tidak sempat 'membayar' hukuman tersebut dalam tahun pertama membuat kesalahan, maksudnya telah sampai ramadhan yang kedua dan seterusnya (puasa yang ditinggalkan telah diganti cuma denda sahaja yang belum dilaksanakan)?
 
Jawapan :
 
Persetubuhan yang dilakukan dengan sengaja dalam keadaan berpuasa adalah dikenakan kaffarah iaitu :
- Memerdekakan seorang hamba jika mampu dan ada.
- Berpuasa 2 bulan berturut-turut
- Mengeluarkan 60 cupak beras jika tidak mampu berpuasa.
 
2. Niat puasa kaffarah hendaklah dilakukan pada malam hari kerana ia termasuk dalam puasa yang wajib.
Niatnya ialah :
" Sahaja aku puasa kaffarah esok hari kerana Allah".
 
3. Boleh diberikan kepada pihak masjid atau umpamanya jika saudara yakin kaffarah tersebut boleh disampaikan ke dada fakir miskin. Untuk lebih mudah bayar kepada Lembaga Zakat.
 
4. Seelok-eloknya hendak bayar kaffarah tersebut dengan segera dan diqada' sehari puasanya secepat mungkin seelum sampai tahun yang berikutnya. Jika melangkau ke tahun yang berikutnya maka dia wajib mengqada' sehari puasanya dan membayar secupak beras fidyah dan 60 cupak beras kaffarah

Thursday, January 13, 2011

HIMPUNAN DOA-DOA HARIAN

HIMPUNAN DOA-DOA HARIAN
 
 
Doa Mengambil wuduk
Doa Penerang Hati
Doa Hindar Azab Api Neraka
Doa Mohon Kesabaran
Doa Taubat
Doa Terang Hati
Doa Hilang Rasa Marah
Doa Masuk Tandas
Doa Keluar Tandas
Doa Menghilangkan Rasa Takut atau Terkejut
Doa Sebelum Tidur
Doa Bangun Tidur
Doa Menuntut Ilmu
Doa Para Rasul dan Mukmin
Doa Mendapat Berita Gembira
Doa Ketika Sukar Menyelesaikan Masalah
Doa Menghadapi Kecelakaan
Doa Waktu Pagi dan Petang

Wednesday, January 12, 2011

Persoalan Solat Jama' dan Qasar

Soalan 
Assalamualaikum ustaz, saya sering balik kampung dan berjalan jauh. Saya mengetahui ketika musafir kita boleh menjamakkan solat, tetapi lantaran kurangnya ilmu tentang hal itu membuatkan saya tidak yakin untuk melaksanakan solat tersebut. Saya hanya mengqada solat setelah sampai ke destinasi. Banyak perkara yang mengelirukan saya. Misalnya kita tidak boleh menjamakkan solat sekiranya akan mendiami destinasi tersebut lebih dari tiga hari. Kita juga tidak boleh menjamakkan solat sekiranya destinasi tersebut adalah kampung halaman kita.
Namun ada yang mengatakan kita boleh menjamakkan solat kerana ia bukan bergantung pada destinasi yang akan kita pergi, tetapi ia bergantung pada tempat di mana kita menjamakkan solat. Contohnya, di pertengahan jalan, kita terhenti, kita tidak berada di situ lebih dari tiga hari dan tempat itu bukan kampung halaman kita.
Oleh itu saya amat berharap ustaz dapat menerangkan tentang solat jamak dan qasar, syarat-syaratnya dan cara mendirikannya, agar saya dapat mempraktikkannya kelak.

Jawapan
Saudari sepatutnya menjama'kan sahaja solat, qadha solat adalah sesuatu yang amat kurang baik untuk diamalkan. Qadha solat juga hanya wujud apabila seseorang tertinggal kerana uzur seperti tertidur dan yang seumpamanya. Sebarang tindakan meninggalkan solat secara sengaja adalah mengundang dosa walaupun qadha dilakukan.
Berikut pula syarat untuk men"qasar"kan solat menurut mazhab Syafie (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/359-365) :-
i. Hanya tertakluk kepada keadaan bermusafir dengan jarak melebihi 85 KM.
ii. Hanya boleh di qasar apabila telah melepasi sempadan kampung atau taman perumahannya.
iii. Mengetahui destinasinya dan ia tidak bertujuan maksiat.
iv. Tidak berimamkan orang yang menunaikan solat penuh (4 rakaat).
v. Berniat qasar semasa takbiratul ihram solatnya.
vi. Mestilah solat qasar itu dilakukan dalam keadaan bersmusafir dari awal hingga akhirnya.
vii. Jika ia berniat (semasa bertolak) untuk duduk di sesuatu destinasi lebih dari tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan pulang), maka ia tidak berhak untuk melakukan qasar solat, sejurus sampainya ia ke destinasi itu. Jika ia tidak berniat lebih dari tiga hari atau langsung tidak punyai niat berapa hari, kiraan 3 hari adalah tidak termasuk hari sampai dan hari pulang. Dalamtempoh itu, ia boleh menqasarkannya jika tiada niat 3 hari.
Solat jama' pula semua syaratnya sama dengan solat qasar. Berikut maklumat beberapa maklumat tentang jama' solat :-
i. Jama' tidak hanya tertakluk kepada keadaan musafir, terdapat keadaan sukar yang lain seperti hujan terlampau lebat, salji, keadaan merbahaya di luar, sakit (mazhab Syafie tidak membenarkan jamak kerana sakit tetapi harus menurut mazhab Maliki dan Hanbali, Rujuk Ikhtilaf Aimmah al-Ulama, Ibn Hubayrah, 1/150), semasa Haji, itulah beberapa contoh keadaan yang di benarkan untuk di jama' kan solat. (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1375)
ii. Solat jama' boleh dilakukan dalam dua bentuk :-

Pertama : Jamak Taqdim

Ertinya : Di gabungkan dua solat dalam waktu solat yang pertama seperti zohor dan asar di dalam waktu zohor, atau maghrib dan isyak di dalam waktu maghrib.
Ia berdasarkan hadith  shohih dari Muadz Bin Jabal riwayat Ahmad, Tirmidzi Ibn Hibban dan lain-lain.
Syaratnya :
1)      Solat dilakukan menurut tertibnya atau yang awal terlebih dahulu (zohor dahulu dan asar di kemudiannya, maghrib dahulu dan isyak di kemudiankan), jika tidak maka batal solatnya menurut mazhab Syafie. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/371 )
2) Berniat jamak ketika solat pertama dilakukan, dan harus juga berniat jamak walaupun solat telah bermula. Lafaz niatnya tidaklah perlu di baca dalam bahasa arab, dalam bahasa melayu juga di benarkan. Tatpi perlu ingat lafaz niat bukannya niat tetapi hanya sebagai pembantu agar niat boleh hadir dengan lebih mudah. Lazfa niat ini adalah saranan mazhab Syafie sahaja, manakala Rasulullah SAW sendiri tidak pernah melakukannya, justeru jika mampu menghadirkan niat di dalam hati tanpa berlafaz, itu yang terbaik.
3) Mestilah berturut-turut (Muwalat); Pastikan jangan terdapat pemisahan yang agak panjang atau urusan lain di tengah-tengah kedua-dua solat.
Kedua : Jamak Takhir
Ertinya : Menggabungkan dua solat dalam satu waktu, iaitu waktu solat yang terkemudian. (seperti zohor dan asar di tunaikan dalam waktu asar).
Ia dibenarkan syarak berdasarkan hadith yang shohih dari Anas dan Ibn Umar yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. (Rujuk Naylul Awtar, 3/212)
Syarat-syaratnya :
1) Niat Takhir sebelum habisnya waktu solat pertama (iaitu niat dilewatkan solat pertama untuk digabungkan dalam waktu asar atau isyak)
2) Berterusan dalam keadaan musafir sehingga tamat solat yang kedua.
Soalan saudari tentang tidak boleh jamak sekiranya destinasi perjalanan itu adalah kampung halaman sendiri adalah seperti berikut (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1362 cet 4, dar Al-Fikr):-
a- Seseorang yang kerja di KL, manakala kampung kelahirannya di Batu Pahat, Johor atau mana-mana jarak yang melebihi 85 KM. Apabila ia sampai ke kampong asalnya ( ibu bapanya juga di sana) ia tidak boleh lagi menqasarkan solat kerana ia tidak dikira bermusafir lagi apabila telah sampai ke kampung walaupun berniat duduk kurang dari 3 hari.
b- Seseorang yang kampung kelahirannya di Perak, dan ia kerja di KL dan kampung isterinya di Johor. Apabila ia balik ke kampung isterinya, juga tidak boleh qasar apabila telah sampai. Bagaimanapun terdapat pandangan menegatakan si suami berhak menjamak dan qasar kerana ia bukan tempat tinggalnya. Bagi saya, kelaur dari yang khilaf adalah lebih baik dalam hal ini.
c- Sekiranya ia dalam perjalanan balik dari kampung Johor atau Peraknya ke KL, ia juga tidak boleh meng"qasar"kan solat apabila telah sampai ke rumahnya di KL
Adapun kenyataan saudari "tidak berada lebih tiga hari di sesuatu tempat perhentian" adalah syarat untuk qasar sahaja. Adapun solat jamak, maka ia masih di bolehkan jika terdapat sebab-sebab yang di sebutkan di atas.

AMALAN BERWUDUK

AMALAN BERWUDUK 
 
Untuk menunaikan sembahyang, kita diwajibkan berwuduk (mengambil air sembahyang atau mengangkat hadas kecil) terlebih dahulu. Jika kita tidak berwuduk adalah haram hukumnya, begitu juga jika kita ingin melakukan:-
  • 1. Sembahyang-sembahyang sunat.
  • 2. Thawaf di Baitullah.
  • 3. Menyembahyangkan mayat.
  • 4. Sujud tilawah atau sujud syukur.
  • 5. Memegang (menyentuh/membawa) Al-Quran, tetapi dibolehkan, diharuskan menyentuh/membawa/memegang jika kandungan isi Al-Quran itu lebih banyak tafsiran dari isi ayat Al-Quran.
Syarat-syarat Wuduk
 Syarat sah Wuduk itu ada enam:-
  • 1. Orang Islam (orang bukan Islam tidak wajib berwuduk)
  • 2. Mumayiz, iaitu telah dapat membezakan yang baik dengan yang buruk sesuatu pekerjaan, yakni yang telah berusia 9 tahun.
  • 3. Air mutlak (air yang suci lagi menyucikan).
  • 4. Bersih dari Haidh, Nifas dan Junub atau dalam Hadas Besar.
  • 5. Jangan ada pada anggota kita sesuatu benda yang dengannya, sebabnya tidak sampai air ke kulit/rambut/kuku seperti cat, lilin, getah, tatoo di kulit, pewarna rambut, pewarna kuku, gincu bibir, eyeshadow dsb.
  • 6. Mengetahui dan dapat membezakan mana yang fardhu dan sunat.
Perkara yang membatalkan wuduk.
Enam Perkara Yang Membatalkan Wuduk ;
  • 1. Keluar sesuatu dari salah satu dua jalan (kubul atau dubur) seperti kencing, najis, angin, mazi, nanah, darah atau mani dan sebagainya.
  • 2. Tidur yang tidak tetap, kecuali terlena sebentar ketika sedang duduk.
  • 3. Hilang akal disebabkan mabuk, pengsan, gila, sawan, pitam dan sebagainya.
  • 4. Menyentuh kemaluan manusia atau dubur dengan telapak tangan atau perut jari kecil atau besar hidup ataupun mati.
  • 5. Bersentuh kulit antara lelaki dengan perempuan dengan tidak berlapik kecuali muhrimnya (keluarga yang tidak boleh dikahwini antara keduanya seperti Ayah, Ibu, anak, nenek, cucu, saudara sesusu, mertua, menantu dan lain-lainnya).
  • 6. Murtad.
Rukun-rukun Wuduk
Rukun wuduk itu ada enam perkara:-

1. Niat
bermaksud "Sahaja aku mengangkat wuduk fardu kerana Allah Ta’ala". Sebelum berniat berkumur dan bersihkanlah hidung tangan dan kaki serta mulakanlah dengan membaca "Bismillah hirrahman nirrahim" dan niat.
2. Membasuh muka
3. Membasuh kedua tangan hingga ke siku
4. Menyapu air di kepala
5. Membasuh kedua kaki
6. Tertib

Kata-kata aluan

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan Baginda Nabi Muhammad SAW, keluarga serta sahabat baginda.

Ruangan blog 'Bimbingan Iman' ini mengandungi pelbagai soal jawab berkaitan hukum hakam Agama Islam yang bakal dikupas oleh ulama-ulama bertauliah diseluruh negara. Persoalan yang dimasukkan didalam ruangan blog ini adalah bersumberkan laman soal jawab lain yang dicantumkan menjadi satu laman yang lengkap bagi memudahkan para pembaca mendapat bimbingan secara menyeluruh berkaitan Agama Islam.

Ulasan yang mendalam, mengungkap pelbagai hikmat dalam ibadat, muamalat dan munakahat serta pelbagai cara untuk melatih diri daripada terhindar perbuatan buruk dan penyakit hati bagi dijadikan rujukan.
Selain itu juga blog ini bakal dijadikan ruang untuk para pembaca memberikan komen kepada setiap jawapan dan ulasan yang telah diberi bagi menambahkan lagi kefahaman terhadap persoalan yang timbul.

Pihak penulis berharap semoga blog ini dapat memberikan manfaat dan bimbingan kepada pembaca sekalian. Jika ada terdapat sedikit pahala dari penulisan ini semoga disampaikan kepada guru-guru, ibubapa, isteri dan anak serta ahli keluarga yang telah memberi bantuan dan semangat. Juga semoga mendapat Keredhaan Allah SWT.

Sekian, wabillahi Taufiq wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh